Menurutnya, ini kerana beliau menyertai politik bukan kerana mahu mengejar jawatan.

Ditanya khabar angin beliau akan meninggalkan PKR jika digugurkan daripada jawatannya sebagai exco, Abdul Yunus berkata, beliau akan setia bersama parti.

“Saya masuk politik bukan untuk kejar jawatan. Saya tetap setia dengan Keadilan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Yunus sebelum ini menafikan tuduhan meminta komisyen tanah yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean.

Abdul Yunus berkata, beliau akan sentiasa berwaspada terhadap permainan kotor seperti itu yang mahu memusnahkan karier politiknya.

Beliau berkata, apa yang berlaku itu seolah-olah sudah dirancang.

Menurutnya, ini jelas apabila tuduhan tersebut berlaku selepas dua hari majlis angkat sumpah jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak atau Exco ditangguhkan.

“Sebelum ini sudah ada ura-ura saya akan ditukar sebab berbeza kem. Setelah pelbagai usaha gagal, maka dicipta fitnah.

“Harapan saya hentikan politik kotor dan kembali kepada agenda rakyat. Hargai aktivis dan pejuang asal dalam parti yang banyak berkorban,” katanya. - UTUSAN ONLINE