Katanya, kemasukan Ismail ke dalam Bersatu merupakan perkembangan yang baik khususnya untuk parti itu di negeri ini.

Malah kata beliau, penyertaan Ismail itu juga bakal membolehkan Bersatu mempunyai suara di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

“Saya telah berbincang beberapa kali dengan Ismail dan beliau memang telah lama menunjukkan minat. Sekarang terserah kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan mengenai kemasukan ini.

“Kita perlu ingat bahawa Ismail merupakan wakil rakyat yang paling awal keluar UMNO iaitu Jun tahun lalu, dan beliau sanggup bersabar selama lebih setahun sebelum menyertai Bersatu. Apa pun, saya gembira kerana ini menunjukkan bahawa Bersatu menjadi pilihan,” katanya di sini hari ini.

Memetik laporan sebuah portal berita sebelum ini, Ismail yang keluar UMNO pada Jun tahun lalu memaklumkan bahawa beliau akan menunggu pengumuman rasmi daripada Bersatu mengenai penyertaannya itu sebelum membuat kenyataan media berhubung perkara berkenaan.

Ismail yang juga adik kepada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Jun tahun lalu selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan parti.

Untuk rekod, Ismail mula menyertai UMNO sejak 30 tahun lalu dan pernah menjawat beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau. -UTUSAN ONLINE