Beliau berkata, sepatutnya aset-aset milik Khazanah Malaysia termasuk MAS itu tidak boleh dijual dengan begitu sahaja, sebaliknya kerajaan perlu memperlihatkan kebijaksanaannya dalam menangani masalah tersebut dengan sebaik mungkin.

Malah jelas beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga tidak sewajarnya menyalahkan pihak lain terutama kerajaan terdahulu berhubung kemelut itu.

“Itu (jual aset negara termasuk MAS) sangat malang. Sepatutnya tak boleh jual aset itu. Tak bolehlah buat sampai ke tahap itu (jual aset). Kerajaan kena tunjuk kebijaksanaannya dan jual aset bukan menandakan kebijaksanaan.

“(Kerajaan sekarang) Lebih banyak nak salahkan kerajaan terdahulu, walaupun kerajaan dulu ada salah. Kita tak nafi ada salah tapi kerajaan yang ada sekarang mestilah tunjuk dia lebih baik. Buat sesuatu dan jangan salahkan orang saja,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu kepada pemberita di kediamannya di Rusila di sini hari ini sejurus selesai menyampaikan kuliah di Masjid Rusila yang terletak bersebelahan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan tidak mempunyai kapasiti untuk menyelamatkan MAS dan dalam masa sama ada pihak menyarankan supaya syarikat penerbangan negara itu dijadikan milik rakyat selain diwujudkan konsep wakaf.

Abdul Hadi seterusnya berkata, tindakan untuk menjual aset negara seumpama itu bukan langkah terbaik dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi sebaliknya perlu berusaha gigih bagi memastikannya kembali pulih.

Beliau seterusnya berkata, masalah yang dihadapi itu turut memberi gambaran bahawa kerajaan PH mempunyai tahap pengurusan yang lemah.

“Pengurusan yang lemah, kena baiki pengurusan dia dan lantik orang yang amanah. Biar betul-betul amanah dan bukan nama saja amanah,” katanya sinis. - UTUSAN ONLINE