Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata usaha memenuhi permintaan serta menangani masalah yang dibangkitkan rakyat bukanlah satu tugas yang mudah, dan seorang wakil rakyat yang mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan pastinya akan memastikan setiap rancangan yang memberi manfaat kepada penduduk tempatan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Kami (kerajaan negeri) bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, sentiasa dahagakan pembangunan di Sabah. Oleh itu amat penting bagi kita mempunyai seorang wakil rakyat yang mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, calon DAP untuk pilihan raya kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, 30, tidak seharusnya dianggap sebagai ‘mentah’ walaupun usianya masih muda kerana beliau sentiasa banyak membantu bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkhidmat kepada penduduk tempatan semasa hayat bapanya masih ada.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Stephen Wong Tien Fatt, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai tarikh hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Penamaan calon hari ini memuktamadkan pertandingan dalam PRK Sandakan ini akan menyaksikan Vivian berentap dengan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga lagi calon bebas bagi merebut kerusi Parlimen berkenaan. - BERNAMA