Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatut memberi tumpuan melaksanakan dasar yang boleh merangsang ekonomi dan bukan dengan hanya menerbitkan bos.

Malah tegas beliau, kerajaan digesa untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada mengeluarkan bon untuk membayar hutang.

"Kerajaan harus memberi tumpuan dengan melaksanakan dasar yang akan membantu membangunkan ekonomi sekali gus membolehkan negara menjadi berdikari dan progresif daripada menerbitkan bon dan bergantung pada hutang.

"Walaupun hutang kerajaan pada masa kini adalah normal dalam kalangan negara maju dan membangun namun jika hutang negara semakin bertambah buruk, generasi baharu akan memikul hutang besar ini seterusnya akan menjadi barah kepada negara," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya menunggu arahan selanjutnya daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kenyataanya di Kyoto, Jepun pada Sabtu lalaly bahawa Malaysia mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan.

Dominic dalam pada itu turut mengkritik kerajaan PH yang sebelum ini lantang memberitahu rakyat bahawa hutang negara telah mencecah RM1 trilion ketika mengambil alih pentadbiran.

Malah katanya, Dr. Mahathir kerap juga mengkritik tindakan kerajaan sebelum ini yang membuat pinjaman daripada kerajaan dan institusi kewangan asing.

"Tetapi kerajaan PH tidak merumuskan sebarang strategi untuk mengurangkan hutang negara namun sebaliknya mengeluarkan bon di merata-rata.

"Kerajaan harus merumuskan strategi komprehensif bagi mencari jalan agar negara dapat diselamatkan daripada pergi ke Jepun atau China untuk meminjam wang," katanya. - UTUSAN ONLINE