Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sudah menjangkakan gabungan tersebut tidak akan mampu menggugat Pas di Kelantan.

Menurutnya, perkara itu akhir­nya dibuktikan selepas Pas berjaya memperoleh 37 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-14 berbanding 32 kerusi DUN dalam PRU-13.

“Pakatan Harapan gagal mendapat sebarang kerusi DUN dan Parlimen sebab pendekatan me­reka tidak sesuai di Kelantan, berbanding di Pantai Barat.

“Rakyat lebih yakin dengan Pas kerana kita mengemukakan pendekatan politik matang dan sejahtera selain mahu kita meneruskan dasar Membangun Bersama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhu­bungan Pas Kelantan di sini, hari ini.

Keputusan PRU-14 menyaksikan calon PKR yang bertanding di 59 kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini gagal memenangi sebarang kerusi dengan sekurang-kurang 45 daripada mereka hilang wang deposit.

Prestasi Pas pula amat baik apabila berjaya merampas kerusi DUN Pengkalan Kubor, Selising, Semerak dan Dabong daripada BN serta kerusi DUN Guchil daripada PKR selain terus mempertahankan sembilan kerusi Parlimen yang dimenangi sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad ber­kata, antara faktor lain Pas menang besar di Kelantan ialah hasil sokongan pengundi muda dan semangat mahu mempertahankan kerajaan sedia ada oleh anak Kelantan yang di perantauan.

“Kita sangat menghargai so­kongan mereka dan berterima kasih kepada seluruh jentera serta petugas yang membantu Pas menang. Prestasi kita amat baik apabila enam kerusi mendapat majoriti melebihi 5,000 undi manakala majoriti 2,500 hingga 5,000 undi ada 13 kerusi.

“Majoriti 1,000 hingga 2,000 undi pula ada 12 kerusi manakala majoriti kurang 1,000 undi ada enam kerusi. Jadi ini menampakkan bahawa sokongan rakyat bertambah terhadap Pas,” katanya.

Ahmad juga memberitahu, beliau akan mengumumkan Timbalan Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas diperkenankan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dalam masa terdekat.