Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, cadangan tersebut sama sekali bercanggah dengan perjuangan PH yang sebelum ini galak melaungkan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN sehingga ramai yang terpedaya dengan janji kosong tersebut.

“Saya rasa itu sudah lari daripada janji manifesto mereka untuk meringankan bebanan rakyat termasuk kalangan orang muda.

“Kata nak menuju ke arah pendidikan percuma tetapi, cadangan PTPTN bercanggah dengan apa yang diperjuangkan PH. Kita biarkan sahajalah... kerana mereka berkuasa, InsyaAllah rakyat akan dapat menilai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya sejurus selepas mengadakan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Semalam, PTPTN dilaporkan mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid, agensi itu sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Mastura berkata, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan. - UTUSAN ONLINE