Sehubungan itu, Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mendakwa beliau menyatakan jawatankuasa perlu ditubuhkan adalah tidak benar dan amatlah dikesali.

Menurutnya, ini kerana penubuhan empat jawatankuasa khas di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan dan pemantauan projek itu telah dibuat dan mula dilaksanakan sejak 19 Mac lalu.

"Kenyataan beliau tersebut amat mengecewakan kerana ia menidakkan usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan dan menyegerakan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak, dengan mengambil kira permohonan dan keperluan Kerajaan Negeri Sarawak.

"Malah, walaupun bayaran balik hutang daripada Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah hampir RM350 juta hanya diterima pada 8 Ogos lalu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat pada 5 Ogos lalu untuk membenarkan Kementerian Pendidikan melaksanakan kerja awalan bagi pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak," katanya di sini hari ini.

Selanjutnya, tambah Guan Eng, pada 14 Ogos lalu, Kementerian Kewangan telah sekali lagi mengeluarkan surat kepada Kementerian Pendidikan memaklumkan bayaran oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah diterima dan meminta kementerian itu untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, ini bagi memastikan pelaksanaan fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak dapat disegerakan.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan juga telah membuat pengecualian dalam meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Sarawak supaya pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan supaya diberi keutamaan kepada kontraktor tempatan yang beroperasi di Sarawak.

Tambahan pula katanya, pemilihan sekolah daif untuk dibaik pulih mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak.

"Susulan itu, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan Surat Kuasa Pelaksanaan Projek kepada pihak Ketua Pengarah Kerja Raya bagi membolehkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memulakan kerja-kerja awalan dengan kadar segera.

"JKR Sarawak juga telah mengenal pasti 7 buah sekolah yang dapat diiklankan tender pada 26 Ogos lalu manakala baki 30 projek lagi dijangka akan ditender pada penghujung Oktober depan," katanya.

Guan Eng menegaskan, cadangan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif sebenarnya adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini.

"Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion atau RM 350 juta tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak. - UTUSAN ONLINE

Habis.