Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, dua pusat mengundi dikhususkan bagi proses pengundian awal, yang bermula pukul 8 pagi, iaitu di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

Pusat mengundi di Rumah Kelab IPD Sandakan tutup pada pukul 12 tengah hari, manakala pusat mengundi di Mes Pegawai Kanan PPM Sandakan pula tutup pada 2 petang.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas.

Calon Bebas itu ialah bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Hari pengundian biasa ditetapkan pada Sabtu ini bermula 7.30 pagi hingga 5 petang. - BERNAMA