Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, khidmat tambahan itu bagi membantu jentera tempatan di Sandakan, Sabah namun jumlah yang akan dihantar kelak bergantung kepada keperluan semasa.

“Kita mempunyai jentera tempatan di Sandakan dan Sabah.

“Tentunya (melibatkan) rakan lain di Sarawak dan saya percaya sebagaimana PRK sebelum ini, jentera dari Semenanjung akan turut dihantar mengikut keperluan bagi mengisi ruang tugasan tertentu walaupun jumlahnya tidak begitu ramai,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan Pas untuk tidak bertanding dalam PRK Sandakan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Hafl el-Takrim Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu 2019 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Azmi Mat Arsyad.

Seramai 165 pelajar Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia ( STAM) 2018 yang memperoleh pencapaian Mumtaz, Jayyid Jiddan dan Jayyid di samping Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama 81 guru dan pengetua menerima anugerah serta cenderahati masing-masing.

Pas hari ini memutuskan untuk tidak meletakkan calon parti itu dalam PRK Parlimen Sandakan yang akan diadakan pada 11 Mei nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, oleh itu, Pas akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon mereka bagi menentang wakil daripada Pakatan Harapan (PH). - UTUSAN ONLINE