Tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Shahrum Mohd. Sharif, selaku parti gabungan dalam Pakatan Harapan yang kebanyakkan ahli terdiri daripada orang Melayu dan Islam, mereka wajar memberi maklum balas segera terhadap kenyataan seumpama itu.

"Sehingga kini masih belum ada kenyataan daripada mana-mana pemimpin parti-parti itu untuk membidas kenyataan dibuat Guan Eng.

"Guan Eng selaku Menteri Kewangan tidak wajar mengeluarkan kenyataan dangkal seumpama itu yang boleh menimbulkan suasana tegang serta mengundang ketidakharmonian rakyat, agama dan kaum di negara ini," katanya ketika ditemui di pekarangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.

Terdahulu, Shahrum bersama wakil-wakil Pas, MCA dan MIC membuat laporan polis agar Guan Eng disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetus suasana tegang serta mengundang ketidakharmonian rakyat, agama dan kaum.

Dalam masa sama, Timbalan Yang Dipertua Pas Sepang, Sabirin Marsono pula menggesa polis tidak pilih bulu untuk menyiasat Guan Eng walaupun beliau merupakan Menteri Kewangan.

"Tidak kira siapa orang itu, pihak polis wajar menyiasat beliau mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi kaum di negara ini," katanya.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung DAP yang menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di bawah panji penyatuan Melayu.

Walau bagaimanapun, beberapa jam selepas itu Malaysiakini memaklumkan Guan Eng telah memperbetulkan kenyataannya itu dan frasa ‘pengisytiharan perang’ diubah kepada ‘menyasarkan’. – UTUSAN ONLINE