Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu jelas apabila peranan besar generasi muda dalam proses demokrasi dan menentukan hala tuju bangsa serta negara.

Katanya yang juga Timbalan Presiden PKR, situasi itu secara tidak langsung membuktikan Malaysia baharu telah meletakkan politik negara pada kedudukan yang matang, progresif dan konstruktif.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Semalam, kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendapat sokongan padu dan tidak berbelah bahagi melalui kelulusan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Kelulusan pindaan itu mencerminkan kemajuan Malaysia menuju demokrasi yang matang dan sokongan padu terhadap Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Pindaan Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang diterima dengan sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen yang hadir menandakan sokongan semua pihak terhadap usaha Kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi di bawah pentadbiran Malaysia Baharu.

Kejayaan tersebut merupakan satu mercu tanda dalam sejarah Perlembagaan khususnya bagi golongan muda kerana mereka diberdaya untuk memilih wakil rakyat dan mengangkat tanggungjawab sebagai rakan kongsi pembina bangsa bersama anak watan yang lain.

Tidak dapat dinafikan anak muda Malaysia akan mempunyai peranan besar dalam proses demokrasi dan menentukan hala tuju bangsa dan negara. Inilah politik baharu dalam Malaysia Baharu yang memberikan keutamaan kepada politik matang, progresif dan membina yang berpaksikan rakyat. Dengan lain perkataan, bukan politik untuk menagih kekuasaan dengan apa cara sekali pun, termasuk mengamalkan politik keji, kotor dan jijik.

Kejayaan semalam juga adalah hasil daripada ketekunan serta komitmen yang ditampilkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, dalam melakukan temu tembung dengan Ahli-Ahli Parlimen, termasuk barisan pembangkang dan pemegang taruh.

Pada akhirnya, tiada siapa yang boleh menafikan peranan utama Dr. Mahathir dalam menjayakan pindaan tersebut. Dr. Mahathir meluangkan masa untuk bertemu secara peribadi dengan blok pembangkang di Dewan Rakyat. Perdana Menteri menampilkan kepimpinan yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung Malaysia.

Harapan rakyat terus memuncak. Maka, tiada pilihan melainkan memelihara kestabilan dan keharmonian di bawah kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. - UTUSAN ONLINE