Timbalan Pengerusi PKR Perak, M. A. Tinagaran berkata, polis sepatutnya mengambil keterangan sahaja kerana ia bukan kes jenayah.

“Cukup sekadar ambil keterangan bagi membantu siasatan kerana kes ini disiasat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Tinagaran, dalam kes seorang ahli exco kerajaan negeri didakwa merogol pembantu rumah, polis hanya merakamkan percakapan sahaja dan exco tersebut dibebaskan tanpa perlu direman.

Kata beliau, sedangkan kes itu merupakan kes jenayah iaitu gangguan seksual.

“Mengapa polis tidak menahan reman exco tersebut dan membebaskannya selepas diambil keterangan.

“Ini menunjukkan ada ‘double standard’ dalam dua keadaan ini dan saya melihat prosedur operasi standard (SOP) polis masih tidak berubah walaupun berada di bawah Malaysia baharu,” katanya.

Semalam, Farhash Wafa Salvador bersama seorang lagi lelaki ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan video seks luar tabii bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz intim yang dikaitkan dengan seorang menteri. - UTUSAN ONLINE