Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pendirian Ketua Cabang Bukit Gantang yang juga Ketua Wanita PKR negeri, Chua Yee Ling dan Ketua Cabang Bagan Serai yang juga ahli exco kerajaan negeri, Abdul Yunus Jamhari itu merupakan amalan demokrasi.

"Jika sekiranya ada yang enggan memberikan sokongan dan kemudian dipersoalkan oleh media atau ahli parti sendiri sebagai ingkar, saya rasa itu hak mereka tapi persepsi negatif jatuh kepada mereka.

"Selaku Pengerusi PKR negeri, saya terima keenganan Abdul Yunus dan Yee Ling walaupun saya tidak beberapa gemar namun inilah demokrasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Farhash, surat sokongan terhadap Presiden parti bertujuan untuk menjelaskan hasrat pucuk pimpinan dan akar umbi PKR yang mahukan kesinambungan reformasi di bawah Anwar.

Kata beliau, sifat kepura-puraan dalam parti telah menghasilkan polemik politik malah ini membuatkan beberapa ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak selesa.

Beliau berkata, Anwar tidak pernah sangsi dinobatkan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8 yang sudah termaktub di dalam manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Namun ada segelintir pihak yang mempunyai muslihat tersendiri sebagaimana yang disebut oleh Abdul Yunus untuk melagakan pemimpin PH dengan Presiden.

"Tiada masalah sekiranya ahli parti ingin melafazkan ikrar taat setia dan menyokong penuh Presiden demi merapatkan saf," katanya. - UTUSAN ONLINE