Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Fuziah Salleh berkata, kenyataan rasmi berhubung sokongan kepada Presiden itu akan dikeluarkan MPN PKR negeri hari ini.

“Insya-Allah kita mendapat sokongan 11 daripada 14 ketua cabang PKR di negeri.

“Kita menyokong presiden parti dan akan menandatangani petisyen berhubung sokongan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Global Village Anjuran AIESEC Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan UMP Holding di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin.

Sebelum ini, khabar angin mendakwa berlaku perpecahan dalam parti itu susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.

Susulan itu, tujuh orang Pengerusi MPN PKR telah menandatangani petisyen sokongan terhadap Anwar.

Negeri terbabit adalah Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE