Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Padang Besar dan Arau turut menyatakan sokongan penuh terhadap Mohamed Azmin, sekali gus menolak sekeras-kerasnya politik adu-domba serta fitnah jijik yang boleh menjejaskan keharmonian parti.

Sokongan yang ditunjukkan itu secara tidak langsung berbeza dengan pendirian Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri merangkap Ketua Cabang PKR Padang Besar, Amran Kamarudin yang sebelum ini

telah menandatangani petisyen sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua PKR Cabang Arau, Mohammad Faisol Abd. Rahman berkata, sejarah penubuhan PKR selama lebih 20 tahun jelas membuktikan Mohamed Azmin cukup setia dengan parti.

MOHAMMAD FAISOL ABD. RAHMAN
MOHAMMAD FAISOL ABD. RAHMAN 

Sehubungan itu, kata Mohammad Faisol, mereka menolak sekeras-kerasnya sebarang konspirasi politik jijik dan kotor ini ketika kerajaan sedang dalam proses memulihkan ekonomi negara.

“Mohamed Azmin juga berjaya memimpin Selangor dengan baik sebelum ini dan seterusnya diberi mandat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan penting di dalam kerajaan.

“PKR juga wajib membenteras mereka yang menyimpan dendam dan iri hati kepada mana- mana pemimpin hingga sanggup melakukan konspirasi jahat dan seburuk ini,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Faisol menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak polis bagi menyiasat seterusnya mendakwa dalang yang terlibat secara langsung dalam menyebarkan fitnah melalui video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

“Perbuatan jahat menyebarkan fitnah begini tidak lain hanya untuk meranapkan karier Mohamed Azmin Ali selain memporak perandakan kestabilan dan keselamatan negara. Petualang ini (dalang) harus diheret ke mahkamah dan diberikan hukuman berat,” katanya.- UTUSAN ONLINE