Mohamed Khaled

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan pindaan itu sudah pun dibentangkan dan ahli-ahli MT UMNO mempunyai ruang yang mencukupi untuk membahaskan dan memberi pandangan konstruktif mereka.

“Harapan saya ialah agar kesemua cadangan tersebut diteliti oleh ahli-ahli MT dengan terbuka dan profesional untuk melihat sama ada ia sebenarnya bertujuan menyerang individu tertentu ataupun tidak.

“Saya percaya sekiranya permainan spekulasi dan persepsi yang tidak benar seperti ini (pindaan bertujuan menyingkirkan individu tertentu) diteruskan, ia akan hanya merugi dan memalukan individu yang menyebarkannya sendiri kerana perkara tersebut tidak benar.

“Malah juga akan merugikan parti kerana kita sudah tentunya sedang dinilai dan diperhatikan oleh semua ahli dan masyarakat awam di luar sana.

Biar apa pun, perkara ini wajar diselesaikan bersama-sama semasa MT mengadakan retreat khusus untuk membincang pindaan Perlembagaan UMNO ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar berkata, pindaan Perlembagaan UMNO adalah satu proses yang terbuka dan berterusan bertujuan mengukuhkan struktur serta tadbir urus UMNO sebagai sebuah gerakan amal bakti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Jelasnya, langkah itu bukan satu proses yang baru berlaku kerana sebelum ini sudah beberapa kali Perlembagaan UMNO dipinda dan kali ini dilakukan dengan tujuan yang sama iaitu untuk mengukuhkan parti.

“Apa yang lebih penting, segala cadangan pindaan ini dilakukan selepas mendengar pandangan dan berjumpa dengan pelbagai pihak. Saya dan pasukan telah melakukan road tour dan berjumpa dengan semua perhubungan negeri di seluruh negara serta sayap-sayap parti untuk membentangkan cadangan-cadangan pindaan tersebut dan terakhir ialah Jawatankuasa Pengurusan.

“Sepanjang proses perjumpaan dan sumbang saran ini berlaku, tidak langsung ada cadangan melucutkan keahlian mereka yang di bawa pertuduhan bagi sebarang salah laku,” katanya lagi.

Justeru katanya, laporan sebuah portal bertajuk Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib pada 30 Mei lalu adalah tidak benar yang mengutip dan menyebarkan cerita dan cakap-cakap tidak berasas kononnya cadangan pindaan itu bertujuan menyerang sesetengah individu secara khusus.

Susulan laporan tidak benar bersifat spekulatif dan berniat jahat tersebut, pihaknya membuat kenyataan balas yang tegas terhadap portal berkenaan yang cuba menangguk di air keruh.

“Namun, saya terpanggil untuk menjelaskan sekali lagi beberapa perkara penting yang mesti diberikan perhatian oleh semua pihak. Tidak ada sebarang cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa (laporan portal) tersebut,” katanya.

Menurutnya, portal berkenaan sehingga ke saat ini gagal mengemukakan sumber serta penjelasan dari mana mereka mendapat maklumat yang salah dan berniat jahat seperti itu.

Tambahnya, portal tersebut seperti dijangkakan hanya membisu, melepaskan tangan dan menebalkan muka sahaja selepas melaporkan berita tidak tepat itu.

“Adalah tidak sihat untuk sesetengah pihak, sama ada dalam atau luar UMNO, khususnya mereka yang mempunyai jawatan untuk terus menyebarkan cerita dan kenyataan yang tidak tepat berhubung proses pindaan Perlembagaan UMNO ini.

“Ia sangat tidak matang, berniat jahat dan hanya akan membantutkan proses pemulihan UMNO menjadi parti yang lebih kuat dan diyakini,” katanya. - UTUSAN ONLINE