Bermula dengan pemberian hamper dan baiki rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin, pengedaran bubur lambuk, pemberian hadiah kepada lapan ibu tunggal dan terkini pengumuman RM80,000 untuk memperbaiki dewan serbaguna yang ditarik balik kemudiannya.

Paling menarik, pada Majlis Perasmian Semarak Seni Kraf di Dewan Haji Md Silin, Beranang, Semenyih, petang semalam, turut diadakan acara cabutan bertuah untuk penduduk.

Adakah semua kejadian itu adalah satu kebetulan atau dirancang bagi membeli hati pengundi-pengundi di sini?

Terfikir juga sama ada menteri-menteri yang terlibat menyedari atau tidak menyedari akan kesalahan mereka atau sebaliknya.

Alasan terlupa atau tidak tahu tidak boleh diterima langsung oleh rakyat kerana di bawah Malaysia baharu, negara ini telah pun melalui lima PRK dan Semenyih yang keenam selepas Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson dan Cameron Highlands.

Sepatutnya pada PRK kali ini, PH tidak lagi membuat kesalahan berkenaan dan cuba bersaing secara sihat.

SPR pula bagaikan membutakan mata terhadap program-program yang mempunyai unsur-unsur pemberian hadiah dan hidangan makanan oleh parti-parti yang bertanding.

Kelmarin, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana parti yang membuat kesalahan.

Beliau sebaliknya mahu mana-mana pihak yang mempunyai bukti membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, dalam kes kempen ceramah-ceramah tanpa permit, pihak penguatkuasa SPR dilihat laju dan tiba-tiba mempunyai kuasa pula untuk menghentikan program sedemikian.

Semoga tempoh berkempen yang berbaki dua hari ini tidak lagi dicemari dengan kejadian-kejadian yang melanggar akta SPR berkenaan. - UTUSAN ONLINE