Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berasa amat pelik dengan cadangan ini sedangkan sepanjang kempen PRU-14 dan selepas mengambil alih kuasa pada Mei 2018 yang lepas, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) begitu bersungguh-sungguh mencanangkan kepada rakyat bahawa Malaysia akan bankrap dan hutang negara telah melebihi RM1 trillion!

Ironinya, pada Mac 2019, Kerajaan Persekutuan telah berjaya menerbitkan Bon Samurai bernilai 200 billion Yen bersamaan RM7.4 billion. Walaupun beberapa pihak mempertikaikan rasional keputusan ini lantaran hanya memfokuskan kepada kadar faedah pinjaman yang rendah iaitu 0.65 peratus, sedangkan terdedah kepada risiko kadar pertukaran mata wang Yen Jepun yang tinggi!

Hakikatnya semakan kadar tukaran wang Yen Jepun dan Ringgit Malaysia kini pada RM3.97 bagi setiap 100 Yen Jepun (Bloomberg) dan menyaksikan mata wang negara matahari terbit itu semakin mengukuh berbanding Ringgit Malaysia!

Baru-baru ini sahaja Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Nor Shamsiah Mohd. Yunus mendedahkan Hutang Luar Negeri Malaysia kini di paras RM931.1 billion atau 61.3 peratus dari KDNK pada akhir Jun 2019 dan dari jumlah itu sebanyak RM636.1 billion atau 68.3 peratus dari jumlah Hutang Luar Negeri adalah hutang mata wang asing.

Keputusan ini jelas menimbulkan banyak persoalan; (a) Mengapakah Kerajaan begitu beriya-iya untuk menerbitkan hutang di luar negara seperti Bon Samurai, Bon Panda dan mungkin akan ada Bon terbaharu akan diperkenalkan? (b) Bukankah cadangan tambahan Bon Samurai terbaru ini hanya akan meningkatkan Hutang Luar Negeri negara dan juga meningkatkan risiko naik turun kadar matawang bagi hutang-hutang ini sekali gus *nilai muktamad pinjaman* berkenaan di masa hadapan, dan paling pokok (c) Bukankah fokus utama Pentadbiran PH khususnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah mengurangkan Hutang Negara?

Apa yang pasti, makin terserlah sandiwara Lim Guan Eng dan Kerajaan PH bahawa hakikatnya merekalah yang sebenarnya yang bertanggungjawab merealisasikan apa yang sering dimomokkan bahawa hutang negara RM1 trilion. Justeru Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan tidak meneruskan hasrat menambah hutang negara ini yang hakikatnya akan memudaratkan lagi ekonomi negara yang semakin parah kini!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.