Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, justeru itu pelbagai pihak tidak usah membandingkan kedua parti terbabit kerana PH adalah perbandingan terburuk buat BN.

Katanya, selepas setahun memerintah pelbagai krisis dalam negara yang berlaku sehingga rakyat susah hati.

“Hari ini PH beri perbandingan yang terburuk untuk BN. Kita lihat pelbagai isu telah melanda negara termasuklah menteri ‘cap ayam’ mereka.

“Kita bandinglah dengan kesungguhan BN semasa memerintah negara dahulu,” katanya ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO bahagian di Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Mohd. Syahbuddin Hashim, Naib Ketua UMNO bahagian, Ab. Aziz Yusoff dan Ketua Penerangan UMNO bahagian, Amran Arifin.

Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah menambah, rakyat harus menilai keperibadian pemimpin UMNO yang rela dan ikhlas berjuang tanpa kuasa.

Katanya, pemerintahan PH kini dilihat terus buruk dan rakyat juga menyedarinya.

“Saya menyeru pejuang UMNO untuk bersemangat agar kita mempertahankan perjuangan parti ulung ini.

“Kita perlu bangkit untuk membela nasib rakyat yang diperlekehkan oleh pemimpin kerajaan PH ini apabila tidak dapat memenuhi janji mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya. - UTUSAN ONLINE