Tiga ahli Dewan Negara yang mewakili Barisan Nasional (BN) iaitu, Senator Datuk Seri Khairudin Es Abd. Samad, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Senator Datuk Yahya Mat Ghani dilaporkan akan menamatkan penggal ke dua mereka bulan hadapan.

Namun, Khairudin yang juga Presiden Majlis Senator, bagaimanapun menyertai Bersatu pada November 2018 bersama tiga ahli Dewan Negara lain termasuk Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Sementara itu, satu lagi kerusi dikhaskan kepada individu kurang upaya yang kini disandang oleh Senator K. Bathmavathi juga akan dikosongkan pada Oktober nanti.

"Namun, pada tahun 2020, seramai tujuh lagi Senator bakal tamat tempoh mereka termasuk Speaker Dewan Negara S. A. Vigneswaran. Daripada jumlah itu, enam wakil adalah daripada BN.

"Ini bermakna bahawa PH hanya akan menguasai Dewan Negara pada November 2020, " lapor portal Malaysiakini semalam.

Dalam pada itu, portal tersebut turut mendakwa Setiausaha Agung, Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham), Ivy Josiah antara salah seorang yang bakal dilantik sebagai Senator pada bulan hadapan.

"Satu penghormatan jika saya terpilih. Ada keperluan supaya lebih ramai perwakilan wanita dalam Dewan Negara.

"Sebenarnya, Dewan Negara memerlukan perwakilan pelbagai kumpulan dengan kepakaran untuk meningkatkan mutu perdebatan dan cadangan dikemukakan," katanya.

Berdasarkan maklumat portal rasmi Parlimen Malaysia, Dewan Negara kini mempunyai 68 orang ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara. - UTUSAN ONLINE