Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, asas perjuangan parti itu harus diteruskan dan perasaan ego serta lalai setelah menjadi kerajaan harus diketepikan.

“Bila sudah empat parti (Bersatu, Amanah, Parti Keadilan Rakyat, DAP) pergolakan itu pasti akan ada. Tetapi harus ingat dengan semangat permuafakatan walaupun empat tetapi kalau kita bersatu hati, kita dapat bersama-sama.

“Terbukti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun baru ditubuhkan dalam masa dua tahun, namun dengan kekuatan empat parti kita dapat bentuk kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Sembang Santai bersama Armada Pasir Gudang, di sini, malam tadi.

Dr. Sahruddin berkata, beliau juga sentiasa berusaha untuk menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat kepadanya.

“Saya diberi amanah untuk bertugas sebagai Menteri Besar Johor, walaupun saya hanya biasa-biasa sahaja.

“Namun, apabila kita telah diberi kepercayaan dan amanah oleh pengundi, kita hendaklah berusaha bagi memastikan janji-janji itu dapat kita tunaikan. Walaupun, kadang-kadang berat (janji), saya yakin dengan doa semua, kita dapat selesaikan masalah yang ada,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Sahruddin juga menyeru golongan muda untuk meneruskan perjuangan parti itu.

“Harap anak-anak muda yang hebat-hebat dapat membantu parti kita ini jadi kuat dan gah,” katanya.- BERNAMA