Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNYA, kita dapat menyambut dan meraikan sekali lagi Hari Kebangsaan, bersempena Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-62 pada tahun ini.

Kita merayakan Hari Kebangsaan kerana ia menandakan permulaan satu kebebasan - bebas daripada pemerintahan orang asing yang telah menjarah kekayaan negara kita untuk kepentingan rakyat negara mereka.

Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kita telah melihat sambutan serta laungan kegembiraan oleh ibu bapa dan datuk nenek kita meraikan saat itu.

Ia tidak memperlihatkan betapa berliku dan sukarnya jalan yang terpaksa mereka lalui untuk mencapai saat sambutan tersebut kecuali jika kita mengambil masa membaca dan menonton dokumentari-dokumentari berkenaan dengan sejarah negara sebelum dan sehingga mencapai kemerdekaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Sejarah negara ini, seperti negara-negara lain, penuh dengan keringat dan air mata, pertumpahan darah,kekejaman, penindasan, penipuan, pengkhianatan dan penghinaan terhadap bangsa dan Negara.

Sebelum wujudnya Malaysia, terdapat Persekutuan Tanah Melayu yang juga dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Ia menjadi Malaya sebelum akhirnya membesar menjadi Malaysia seperti yang kita kenali hari ini.

Sejarah juga memperlihat betapa negara ini terbina atas nilai-nilai tolak ansur, ketinggian budi, hormat-menghormati, kesediaan memberi dan berkongsi, tidak mementingkan diri dan berkemahuan untuk berkorban demi kepentingan negara.

Tanpa nilai-nilai tersebut, Malaysia tidak akan membesar menjadi negara maju yang berkeupayaan memberi kepada rakyatnya keselesaan dan kemajuan.

Kemajuan ini tidak jauh beza dari apa yang terdapat di negara-negara lain malahan, ada ketikanya, apa yang kita rasai di sini jauh lebih besar nikmatnya.

Tetapi nilai-nilai ini tidak seharusnya terhenti apabila kita mencapai kemerdekaan atau kemajuan seperti yang kita nikmati hari ini.

Seharusnya, semakin kita maju dan berjaya, semakin kita sedar betapa perlunya kita kepada nilai-nilai baik tersebut. Jika nilai-nilai tersebut yang dipegang oleh ibu bapa dan datuk nenek kita berjaya membentuk negara ini, sudah pasti ia lebih penting apabila kita mengurus kemajuan yang tercapai.

Malangnya, jika kita lihat di sekeliling kita, di dalam kita hanyut dengan kemajuan komunikasi dan digitalisasi, nilai-nilai yang baik itu diketepikan dan diganti dengan sifat buruk yang jelik dan menjijikkan.

Yang lebih merosakkan adalah apabila sifat buruk ini terserlah ketika berdepan isu-isu sensitif mengenai bangsa dan agama.

Ketika mempertahankan agama dan kaum masing-masing, penghinaan dilakukan terhadap kaum dan agama lain sehingga menggunakan kata-kata nista dan kesat, pasti menimbulkan kemarahan dan keresahan.

Amat menghairankan kerana jika kita mahu menegakkan agama dan bangsa kita, sudah tentu kita perlu memperlihat sifat dan penggunaan bahasa yang baik dan berbudaya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya amat mengharapkan ketika kita menyambut kemerdekaan ini, kesemua rakyat Malaysia, tidak kira apa agama, bangsa dan budaya akan dapat mendalami diri masing-masing dan mencari semangat setiakawan dan kenegaraan yang membantu kita mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara sehingga menjadi negara yang berjaya.

Kita perlu bertanya apakah kita sudah tidak lagi peduli terhadap masa depan negara dalam mempertahan kepentingan sempit bangsa dan agama masing-masing.

Sesungguhnya, jika kita benar-benar ikhlas, kita akan sedar betapa besar nikmat yang ada dalam negara kita ini.

Jika kita mempunyai kesedaran itu, kita akan mencari jalan dan berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankannya.

-UTUSAN ONLINE