Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, PH Gem adalah inisiatif PH Negeri Sembilan bagi melatih dan melahirkan lebih ramai golongan wanita yang berkemahiran dan berkepimpinan.

"Oleh itu, kita mesti menggunakan dana ini untuk memastikan bahawa wanita diberi peluang untuk bersaing. Kita juga berharap dengan ini wanita diberi peranan yang lebih besar.

"Semua program inisiatif PH Gem ini diurus 100 peratus oleh wanita, manakala pengisian program mesti menepati syarat iaitu meliputi bidang pendidikan, kesihatan, alam sekitar, ekonomi dan kebajikan," katanya kepada Bernama selepas majlis penutup program kelas bakeri anjuran Pertubuhan Wanita Berdaya Negeri Sembilan di Taman Delima, Rantau dekat sini, hari ini.

Turut hadir, pengerusi Pertubuhan Wanita Berdaya Negeri Sembilan yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Rembau A. Bathmavaty dan Ketua PKR Cabang Rembau R. Tangam.

Mengulas lanjut Nicole Tan berkata, peruntukan disediakan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Seremban, Kuala Pilah dan Tampin dipilih sebagai daerah perintis sebelum diperluaskan ke daerah-daerah lain.

"PH Gem bertujuan untuk melahirkan lebih ramai wanita yang berkemahiran. Sesiapa sahaja atau badan bukan kerajaan yang berminat dan ingin terlibat dalam program itu boleh berjumpa saya dan boleh memohon melalui program PH GEM yang bukan sahaja dapat meningkatkan dari segi ekonomi, kebajikan sosial malah alam sekitar, pendidikan dan pelbagai sektor lain," katanya.

Pada majlis itu, Nicole Tan turut menyampaikan sijil kepada 16 orang peserta yang tamat mengikuti kelas membuat dan menghias kek di mana kelas itu adalah di bawah inisiatif PH Gem. - BERNAMA