Sebagai anggota Kabinet saya menyeru agar semua pihak menumpukan tenaga dan usaha ke arah memantapkan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Segala buah fikiran, idea dan cadangan yang difikirkan dapat mencapai hasrat Malaysia baru boleh disalurkan melalui koalisi Pakatan Harapan yang merupakan medium paling tepat.

Di sini, ingin saya sarankan kepada pemimpin dalam Pakatan Harapan khususnya supaya mentaliti sebagai pembangkang yang telah bersarang lama perlu dikikis.

Dalam semangat merdeka, saya berharap agar kita hentikan polemik ini segera memandangkan YAB Perdana Menteri sendiri berulang kali menyatakan bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk meletak jawatan apabila sesuai waktunya kelak.

Sebagai anggota kerajaan, biarlah YAB Perdana Menteri menyelesaikan misi kita bersama. Sebagai anggota Kabinet, saya juga bertanggungjawab di atas semua keputusan Kabinet yang diambil selama ini.

Atas sebab itulah, marilah kita sama-sama berkongsi beban tanggungjawab ini demi menuju kesejahteraan Malaysia.

Semoga Allah SWT memelihara tanah air ini. Merdeka!

* Penulis ialah Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) dan Naib Presiden PKR

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Online