Abdul Hadi berkata, pertemuan yang berlangsung selama kira-kira satu jam di kediaman Ahmad Zahid itu turut membabitkan penyelarasan serta penyusunan wakil-wakil daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tetamu dalam program Himpunan Penyatuan Ummah bersempena majlis menandatangani piagam berkenaan.

"Ini merupakan pertemuan akhir sebelum 14 September dan selepas itu kita serahkan kepada jawatankuasa teknikal yang mewakili kedua-dua parti, Pas dan UMNO.

"Pertemuan semalam diatur oleh Ahmad Zahid oleh kerana beliau pernah datang ke Pejabat Pas dan ke Terengganu, jadi giliran saya pula ke rumahnya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah Maahad Baitur Rahman di Kampung Banggol Donas di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun dan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan.

Semalam, Abdul Hadi menerusi hantaran dalam akaun Facebook milik beliau berkongsi beberapa keping gambar pertemuan itu dengan catatan, 'Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Muafakat membawa berkat. Islam memimpin perpaduan.'

Perkongsian sama turut dilakukan Ahmad Zahid yang menyatakan perbincangan dengan Abdul Hadi yang turut disertai kepemimpinan utama kedua-dua parti amat positif serta memperkukuhkan lagi penyatuan ummah.

Majlis menandatangani piagam itu akan berlangsung pada pukul 11 pagi bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara yang dijangka dihadiri lebih 10,000 ahli dan penyokong Pas serta UMNO. - UTUSAN ONLINE