Dalam kenyataan yang dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu itu, mereka berharap rakyat Malaysia mengetepikan retorik yang boleh merosakkan perpaduan negara.

“Apa yang rakyat Malaysia nikmati pada hari ini sudah pasti akan dapat terus dinikmati apabila rakyat terus bersatu padu, mengukuh muafakat serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menegakkan negara hukum.

“Semua rakyat Malaysia, tidak kira pangkat mahupun latar belakang perlu sentiasa memupuk perpaduan dan meningkatkan persefahaman sesama kita,” kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pelbagai isu yang dilihat mengancam perpaduan negara timbul baru-baru ini seperti isu-isu melibatkan kaum dan agama serta isu pendidikan seperti pengenalan pengajaran seni khat di sekolah.

Pimpinan utama PH turut berkata, kemajmukan kaum dalam negara ini perlu dipertahankan demi mencapai kerukunan hidup bermasyarakat yang sangat diperlukan dalam negara ini.

“Kami percaya rakyat Malaysia kesemuanya cintakan keamanan dan keharmonian untuk terus bersama menikmati hidup dalam suasana aman.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melipatgandakan usaha bagi memastikan negara kita yang tercinta ini akan terus kekal sebagai sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani oleh semua,” kata mereka. - UTUSAN ONLINE