Pengerusi penganjur himpunan itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, persediaan untuk penganjuran program tersebut sudah hampir siap sepenuhnya.

Menurutnya, semua kemudahan khususnya tempat letak kereta yang luas telah disediakan untuk menampung kehadiran orang ramai pada perhimpunan yang akan dihadiri oleh para pemimpin UMNO dan Pas.

Menurutnya, orang ramai yang hadir boleh meletakan kenderaan di kawasandataran yang luas dan lapang dan tidak perlu bimbang terhadap masalah untuk meletak kenderaan.

"Selain itu kita juga telah mengatur kawalan trafik supaya tidak berlaku kesesakan yang teruk malah kita akan mengadakan jalan sehala supaya kenderaan dapat bergerak dengan lancar.

"Bagi mereka yang datang menaiki bas, mereka boleh menurunkan orang ramai di depan dewan acara dan kemudiannya bas diletakkan di kawasan khas yang disediakan," katanya ketika ditemui semasa meninjau persiapan penganjuran program berkenaan di sini hari ini.

Tambah Tajuddin, beliau menjangkakan sambutan baik daripada orang ramai terhadap perhimpunan tersebut.

"Kita harap sasaran orang ramai yang hadir ke program ini iaitu sebanyak lebih 50,000 akan tercapai," katanya.

Perhimpunan itu bertujuan menyokong agenda penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu tanpa mengira ideologi politik di negara ini.

Sebelum ini, perhimpinan yang serupa pernah diadakan di Pasir Salak iaitu Himpunan Melayu Bangkit dan Himpunan Perpaduan Ummah.

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri perhimpunan tersebut.

Antara pemimpin UMNO yang hadir termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pas diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria. - UTUSAN ONLINE