Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, dua faktor tersebut menjadi tunjang kekuatan kepada parti namun akan membawa kepada perpecahan sekiranya tidak ada dalam jiwa ahli.

"Pertamanya yang penting bagi saya dalam UMNO ini perlu ada roh perjuangan, selagi ada perkara itu parti ini akan terus menjadi parti keramat orang Melayu kerana UMNO lahir di Istana Johor, bukannya seperti PKR yang lahir di jalanan.

"Kedua adalah perpaduan kerana kalau roh sahaja kuat tetapi tidak bersatu tak boleh juga, jangan kita berpecah-belah sebab bukan lawan sahaja tidak hormat tapi kawannya juga tak pandang kita," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Hassan Johari dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Noh turut meluluskan 13 projek berharga RM3.8 juta di kawasan Bakri termasuk menyelenggara rumah-rumah flat. -UTUSAN ONLINE