Beliau yang masih berada di Indonesia atas urusan rasmi parti di sana, menyeru seluruh pemimpin, ahli serta penyokong Pas agar bermunajat dan berdoa kepada Allah mengenai apa yang dihadapi parti itu ketika inii.

Dalam seruan itu, Abdul Hadi mahu mereka berkenaan sama-sama menunaikan solat hajat selain berpuasa, membaca al-Quran serta melakukan amal kebajikan.

Malah beliau juga mahu seluruh kepemimpinan, ahli serta para penyokong Pas supaya bertawassul memohon kepada Allah agar memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat.

"Kita beriman dan percaya kepada Sabda Nabi Muhammad S.A.W. bahawa doa orang-orang yang dizalimi tidak ada hijab dan dimaqbulkan oleh Allah S.W.T.

"Kita memohon pertolongan kepada Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Tinggi mengatasi segala kerajaan di dunia ini.

"Yakinlah perjuangan Islam itu benar dan ikhlaskan niat kerana Allah," kata Abdul Hadi dalam entri terbaharu akaun Facebook beliau petang ini. - UTUSAN ONLINE