Rohazam Bakar

Wakil Melaka, Rohazam Bakar berkata, kegagalan berbuat demikian dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat sekali gus menyebabkan mereka menolak TPPA tanpa memahami manfaatnya kepada negara.

Menurut beliau, lebih membimbangkan, pakatan pembangkang mengambil kesempatan dengan menyebarkan maklumat kurang tepat berkaitan perjanjian tersebut.

“Rakyat boleh terima kalau kita jelaskan dengan betul dan telus, cuma jangan ulangi kelemahan yang berlaku semasa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dahulu,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Rohazam memberitahu, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) digerakkan bagi membantu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi penjelasan berhubung TPPA kepada rakyat.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Katil menambah, Kementerian Pembangunan Usahawan perlu diwujudkan semula agar usahawan Melayu dapat merasai peranan UMNO dalam membantu mereka.

Rohazam turut menyarankan kepada kerajaan untuk mempermudahkan proses permohonan sijil halal bagi pengusaha premis makanan Melayu dan Islam serta menaik taraf pengangkutan awam di seluruh negara.