Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, penyatuan umah antara dua parti itu dilihat mampu menjamin kedudukan Melayu dalam negara untuk servival politik untuk jangka masa panjang.

"Saya menyeru semua ahli UMNO untuk bersama-sama ke PWTC bagi menyaksikan piagam muafakat itu ditandatangani. Kita akan memakai baju Melayu berwarna putih dan bersamping merah manakala mereka daripada Pas akan memakai pakaian yang sama dengan bersamping hijau.

"Penyokong daripada dua parti ini akan berhimpun pada 14 September ini bagi meraikan detik bersejarah ini," katanya ketika berucap pada Karnival Kemerdekaan UMNO Johor di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Simpang Renggam, Abd. Mutalip Abd. Rahim.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut turut menyeru ahli UMNO di negeri ini untuk bersama-sama membantu akhbar Utusan Malaysia yang berdepan masalah kewangan hingga menyebabkan ratusan pekerja kelewatan menerima gaji bulanan.

"Utusan Malaysia adalah akhbar yang banyak berjasa kepada UMNO dalam menyebarkan berita secara tepat kepada segenap masyarakat. Kini, tiba giliran kita untuk membalas jasa akhbar ini bagi memastikan ia mampu terus beroperasi seperti sedia kala," katanya. - UTUSAN ONLINE