Majlis Menteri yang membariskan enam ahli Parlimen Wilayah Persekutuan itu ditubuhkan untuk membantu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan fungsi-fungsi yang disebut dalam enam portfolio yang dipegang keenam-enam ahli Parlimen tersebut.

Fahmi yang memegang portfolio Sosial dan Pembangunan Ekonomi berkata, penubuhan majlis itu satu langkah positif untuk memastikan pentadbiran wilayah persekutuan terutamanya Kuala Lumpur dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Mungkin sebelum ini ada yang beranggapan Menteri Wilayah Persekutuan mempunyai kuasa mutlak terhadap pentadbiran di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Dari situ kita lihat ada keterbukaan dengan terwujudnya Majlis Menteri di mana semua ahli Parlimen berkesempatan membangkitkan isu-isu mereka dan diselesaikan secara dasar.

“Dengan adanya dengan jawatankuasa-jawatankuasa ini, kita percaya akan melancarkan lagi (pentadbiran) kerana kita tidak beroperasi ‘ultra vires’, di luar batas undang-undang tetapi ini mengikuti lunas undang-undang,” katanya selepas melancarkan Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani di Pasar Tani Bukit Angkasa di sini hari ini.

Selain Fahmi, majlis itu turut membariskan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memegang portfolio Pendidikan; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun (Pelancongan Seni dan Budaya); Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran (Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew (Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita) serta Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (Trafik dan Infra). - UTUSAN ONLINE