Suasana bising sekumpulan kecil penunjuk perasaan di luar, bagaimanapun terus tenggelam dengan syarahan tanpa teks Dr. Mahathir dalam dewan Cambridge Union Society, yang berjaya menarik pendengar dengan syarahannya mengenai kisah dari zaman penjajahan British hingga ke masalah yang dihadapi negara dan dunia pada masa kini.

Sebahagian yang hadir menyatakan, syarahan itu tidak banyak berbeza dengan apa yang disampaikan di Oxford Union, kerana Perdana Menteri berusia 93 tahun itu tetap dalam pendiriannya dalam banyak isu, termasuklah isu pembangunan negara regim Israel atas kesengsaraan dan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan pendirian negara terhadap lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau juga turut menceritakan bagaimana Malaysia mengubah tumpuannya daripada Barat ke Timur dan kegusaran terhadap peminggiran negara-negara kecil oleh negara besar.

Pendengar yang hadir juga tertarik apabila beliau menyatakan dalam bahasa Inggeris, mereka tidak maksudkan apa yang mereka katakan.

"Sebagai contoh, di Parlimen, Speaker Dewan tidak dibenarkan untuk bercakap. Malaysia adalah anggota 'Commonwealth', namun tidak banyak persamaan (common) dan kekayaan (wealth) yang dikuasai negara tertentu. Inggeris akui Sultan orang Melayu sebagai pemerintah, namun mereka tidak mempunyai kuasa. Jadi apabila mereka mengkritik kita sebagai diktator, saya rasa mereka tidak maksudkannya," katanya sambil disambut dengan ketawa dan tepukan.

Selepas syarahannya, jawapan Dr. Mahathir untuk soalan terakhir daripada pendengar juga membuatkan mereka ketawa.

Beliau ditanya sama ada Pakatan Harapan akan masih menjadi kerajaan dalam pilihan raya yang akan datang, Dr. Mahathir dengan bersahaja menjawab: "Ia bergantung pada anda, jika anda undi kami, kami akan kembali".

Turut hadir di syarahan tersebut, isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Pendengar syarahan itu termasuklah pelajar Universiti Cambridge dan pelajar serta rakyat Malaysia di United Kingdom -BERNAMA