Walaupun terdapat bebe­rapa cerita kurang enak di­dengari selepas calon PH, Muhammad Aiman Zaina­li ‘hilang daripada radar’ hari ini, namun kehadiran beberapa menteri Kabinet dalam siri ceramah yang te­lah diatur mungkin berjaya menutup ‘kelemahan’ itu.

Prestasi Muhammad Ai­man yang juga menantu ke­pada penyandang kerusi DUN Semenyih, Allahyarham­ ­Bak­h­­tiar Mohd. Nor juga di­­katakan kian meningkat selepas dikritik hebat pada awal sesi kempen minggu lalu.

Calon BN, Zakaria Hanafi pula seolah-olah tidak kenal erti penat apabila menghadiri kira-kira 10 program setiap hari bermula awal pagi sehinggalah ke lewat malam. Komitmen tinggi ditunjukkan itu semestinya ditagih pengundi sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat nanti.

Dalam pada itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang diwakili anak muda, Nik Aziz Afiq Abdul pula mengekalkan momentum apabila terus membangkitkan pelbagai isu yang disifatkan dekat de­ngan penduduk. Isu pendidikan, kesihatan dan perumahan kos rendah menjadi idaman pengundi Semenyih adalah antara yang dicanangkan.

Cuma kelibat calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang sahaja yang ja­rang sekali kelihatan. Mung­kin di­sebabkan keka­ngan jentera berbeza dengan­ calon-calon lain atau pun strategi tersendiri yang cuba ditampilkan aktivis masyarakat itu. Hanya beliau sahaja yang mengetahuinya.

Menjelang proses pengun­dian awal esok, keempat-empat calon tentunya su­dah cuba memberikan yang terbaik untuk menarik soko­ngan pengundi. Jumlah 858 pengundi awal yang terdiri daripada anggota Polis Pasukan Gerakan Am dan anggota keselamatan lain semestinya sudah boleh berkira-kira siapa calon pilihan hati.

Siapa pun calon yang dipi­lih esok dan kira-kira 54,000 pengundi berdaftar Sabtu ini, semestinya memegang­ ama­nah besar membawa harapan penduduk Semenyih ke pering­kat DUN Selangor.

Pengundi di Semenyih semestinya sudah cukup bijak dan matang untuk menilai serta memilih calon pilihan apatah lagi mereka amat berharap wakil rakyat itu nanti dapat menyelesaikan pelbagai masalah setempat yang telah sekian lama ‘menghantui’ terutamanya melibatkan kehidupan seharian.