Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenya­taan terbuka itu perlu segera dibuat seandainya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ikhlas mahu memberi jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

ASYRAF WAJDI DUSUKI
ASYRAF WAJDI DUSUKI 

Katanya, jika Dr. Mahathir masih berdolak-dalik sampai ke hari ini dan tidak memohon maaf terhadap Anwar, maka Presiden PKR itu bakal menjadi bakal Perdana Menteri paling lama dalam sejarah negara.

“Dr. Mahathir sekarang berada dalam situasi serba-salah untuk menerima dan melantik individu yang pernah dipecatnya serta dituduh dengan perlakuan tidak bermoral sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan tempat beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Sembang Santai Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Penyelaras UMNO DUN itu, Mohd. Iskandar Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi meminta MCA dan MIC bertenang dan tidak mengambil keputusan melulu susulan kerjasama antara UMNO dan Pas bagi berdepan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana dalam siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

Katanya, dalam suasana politik hari ini kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti.

“MCA dan MIC perlu duduk bersama dan berbincang bagi mengelakkan mengambil keputusan yang boleh mendatangkan kerugian jika dibuat dalam keadaan marah.

“Rakyat di semua peringkat amat kecewa dan rasa diperbodohkan, jadi sebagai parti pembangkang, MCA dan MIC perlu lebih fokus untuk berhadapan dengan PH dan menjadi jurubicara serta pejuang rakyat,” katanya.