Petisyen yang dilancarkan sejak malam tadi menerusi laman web change.org itu setakat pukul 4 petang sebentar tadi telah mengumpulkan lebih 33,000 sokongan dengan sasaran mendapat 100,000 sokongan.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muzzammil Ismail berkata, Dong Zong sangat keterlaluan dan mengugat perpaduan masyarakat kerana mengumpulkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina membuat penentangan dengan mengatakan tulisan Jawi ini merupakan satu usaha Islamisasi.

"Sebelum ini mereka lantang menjadi persatuan yang mendesak kerajaan terutama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Hari ini Dong Zong menekan kerajaan menggunakan pelbagai tuntutan," katanya dalam akaun Facebook beliau.

Di Langkawi, Kedah semalam, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Sejak dua minggu lalu, isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidiakan Cina, Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Mengulas mengenai tindakan Dong Zong itu lagi, Muzzammil mendakwa, tindakan persatuan itu menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular adalah tindakan tersusun yang amat jahat dan dilihat boleh menggugat warisan Malaysia.

"Dengan ini Armada menyeru agar semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tanpa mengira ideologi politik dan fahaman untuk bersatu dalam mempertahankan Jawi dan prinsip Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Ayuh kita tandatangan petisyen ini demi menyatakan sokongan," katanya. - UTUSAN ONLINE