Pada masa yang sama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemimpin seperti Datuk Seri Mustapa Mohamad, hanya bersama-sama dengan UMNO hanyalah kerana berkehendakkan jawatan menteri.

“Mereka yang lompat parti ini pada saya adalah makhluk dua alam, yang sifatnya jika disembelih sekalipun kita tak boleh makan, mereka hanya nak bersama-sama kita semasa senang tetapi bila kita kalah saja terus lompat.

“Orang seperti Mustapa Mohamed ini hanya nakkan jawatan Menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau sendiri secara peribadi bersyukur dengan kekalahan BN pada tahun lalu, kerana episod tersebutlah yang memungkinkan UMNO dan Pas kini berkerjasama menerusi taawun siyasi.

“Benar PH (Pakatan Harapan) kini memegang kuasa tetapi mereka hanya dapat Putrajaya dengan kemenangan tersebut, tetapi orang Melayu disebabkan kekalahan BN mendapat perpaduan di antara dua parti terbesar iaitu UMNO dan Pas.

“Dari sudut kelangsungan politik orang Melayu yang telah sekian lama berpecah, ini adalah nikmat yang jauh lebih besar dan dengan kerjasama ini, tanpa meminggirkan komponen BN, kita akan merampas semula Putrajaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE