Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, di saat-saat getir, UMNO terutamanya pemimpin-pemimpinnya perlu bersatu teguh dan bergerak sebagai satu nakhoda.

"Ini bukanlah kali pertama UMNO diuji dalam perjuangan. Pejuang UMNO tidak pernah dan tidak akan lari daripada perjuangan kerana mereka terlalu sayangkan UMNO, bukan pemimpinnya," kata beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Puteri UMNO di sini hari ini.

Tambah Nurul Amal, kegagalan Barisan Nasional (BN) menepis fitnah dan dakwaan dalam 'peperangan' di alam maya terutamanya di media sosial merupakan salah satu punca kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kekalahan yang lepas janganlah diratapi sebaliknya ambil pengajaran untuk menguatkan parti. Corak perjuangan mungkin tidak sama dengan nenek moyang kita dulu.

"Modus operandi di zaman modem ini hanya berperang menggunakan telefon dan media sosial. Itulah yang mereka gunakan, sehingga kita kalah dan hilang kuasa di tanah air kita sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE