Menurut Setiausaha Interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian, kenyataan Mohd. Redzuan mengenai kekayaan Sarawak yang kurang dirasai oleh rakyatnya datang daripada pengalaman beliau yang pernah bekerja dalam industri minyak dan gas di Sarawak hampir 30 tahun lalu.

Ujar Jaziri Alkaf, situasi sekarang masih tidak banyak berubah dan perkembangan sosio ekonomi nampak jelas tidak setara walaupun setelah 30 tahun berlalu. Kerajaan negeri perlu mengakui kelemahan mereka yang sehingga kini masih kurang memberi perhatian terutama dalam hal pembangunan luar bandar.

“Bagi saya pemimpin Sarawak tidak perlu melompat dengan kenyataan Mohd. Redzuan itu. Jika ada keperluan kita boleh saling bekerjasama antara satu sama lain kerana yang paling utama adalah kepentingan rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dilaporkan berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Gawai Raya Peringkat Negeri anjuran Bersatu Sarawak pada hujung minggu lalu.

Dalam majlis rumah terbuka tersebut Mohd. Redzuan turut mengumumkan penubuhan secara rasmi 12 Bahagian Bersatu Sarawak manakala baki 19 Bahagian lagi masih dalam proses pendaftaran untuk diluluskan.

Beliau juga menyatakan pada 20 Julai depan watikah pelantikan membabitkan 12 ketua bahagian akan diberikan, sekali gus membuka ruang kepada pemilihan Pengerusi Bersatu Sarawak selepas itu, kerana pengerusi perlu dipilih dalam kalangan ketua bahagian.

Mohd. Redzuan juga memaklumkan sudah ada nama yang dalam pertimbangan Bersatu Pusat bagi jawatan Pengerusi Bersatu Sarawak.

Ujar Jaziri Alkaf, pemimpin kerajaan negeri perlu faham kenyataan Mohd Redzuan itu lahir daripada suara dan rintihan rakyat Sarawak sendiri yang berjumpa dengan beliau selain dirinya.

“Mereka menyuarakan perasaan kecewa dan tidak puas hati terhadap ketidakprihatinan kerajaan yang hanya memberi pertolongan dan bantuan ketika pilihan raya hampir tiba.

“Rakyat Sarawak sendiri beritahu pada beliau bila nak undi rakyat cari mereka bila dah menang tinggalkan rakyat terkapai-kapai. Bantuan yang diberi umpama melepaskan batuk di tangga,” kata Jaziri Alkaf.

Tambah beliau lagi, Fazzrudin harus membuka mata dan mungkin boleh bekerjasama dengan melihat inisiatif yang telah dilakukan pihak Bersatu Sarawak di bawah kepimpinan Mohd Redzuan.

Katanya lagi, walaupun Bersatu hanyalah pembangkang di negeri ini tetapi tetap peka terhadap rakyat dengan melaksanakan beberapa projek bagi menaiktaraf sosio ekonomi di Sarawak.

“Baru-baru ini atas inisiatif Mohd. Ridzuan, beliau sudah pun memulakan projek nanas MD2 melibatkan 1,652 peserta dan dijangka akan melonjak hingga 6,000 peserta dalam masa terdekat.

“Kawasan-kawasan terlibat termasuk Bintulu, Lawas, Limbang dan Julau. Jangkaan awal keuntungan dijangka mencecah RM36 juta malah perjanjian untuk mengekspot nanas ke China juga telah tercapai.

“Setiap pemimpin negeri harus mempunyai nilai integriti yang tinggi demi memenuhi keperluan rakyat. Ini kerana rakyat Sarawak adalah amanah yang perlu dipikul tanggungjawabnya oleh pemimpin kerajaan negeri.

“Tanpa integriti maka amalan rasuah dan korupsi akan berleluasa. Oleh itu tidak mustahil ia punca utama kekayaan di bumi bertuah ini tidak dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat Sarawak sendiri, ujarnya. - UTUSAN ONLINE