Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Perkara 153 dalam Perlembagaan sudah terang lagi bersuluh, namun masih ramai terutama generasi muda tidak faham mengenainya.

Tambah beliau, masih terdapat pemimpin dalam kerajaan berfikiran seperti pembangkang, hanya mengutamakan hak politik dan parti mereka serta bukan agenda nasional.

“Dalam kerajaan Pakatan Harapan sekarang berfikiran seperti pembangkang bukan tindakan tepat apatah lagi apabila sesuatu dasar dibuat dalam Kabinet ada pihak yang tidak setuju secara konsensus.

“Janganlah dipertikai atau dinyatakan kepada rakyat mereka tidak setuju. Itu satu kenyataan berbahaya dan tidak melambangkan kesatuan dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Mohd. Redzuan, perbincangan sesama parti komponen dalam PH perlu dibuat dan kata putus dicapai dalam mesyuarat itu.

Menurut beliau, musuh paling besar dalam menyatukan rakyat adalah kerana kecetekan ilmu terutama sejarah dan Perlembagaan.

Jelasnya, jika rakyat dan pemimpin faham dua perkara ini beliau yakin permasalahan yang berlaku melibatkan kaum di negara ini tidak akan berlaku.

“Saya menyarankan sebagai seorang pemimpin dalam PH kita perlu pamerkan satu kerajaan yang lebih baik berbanding dahulu. Apatah lagi kini orang melihat keadaan ekonomi masih belum lancar walaupun banyak perubahan telah dilakukan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Mungkin ia memakan masa bagi PH untuk bersatu dan berfikir sebagai sebuah kerajaan bersama namun yang penting elakkan dari berfikiran seperti pembangkang kerana ia hanya merugikan semua pihak terutama rakyat yang mengundi PH,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE