Ahli Jawatankuasa DAP Pusat yang juga Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh berkata sejak ditubuhkan, DAP menitikberatkan anak muda dalam perjuangan politik parti itu.

“Sepanjang masa DAP memberi peluang kepada anak muda dan sebagai contoh Penasihat DAP Lim Kit Siang menjadi Anggota Parlimen ketika berumur 28 tahun.

“Saya juga menjadi anggota Parlimen pada umur muda iaitu 11 tahun lepas tanpa pengalaman. Apa yang penting adalah hati dan hasrat berkhidmat untuk rakyat,” katanya pada ceramah umum DAP di sini, malam tadi.

Antara yang hadir adalah Lim, Wong (Vivian) dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara yang juga Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen yakin Wong (Vivian) mampu menjadi seorang wakil rakyat terbaik di Parlimen Sandakan.

Pada PRK Sandakan ini, Wong ditentang calon Parti Bersatu Sabah Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat. - BERNAMA