Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu menjelaskan perkara itu kerana kerajaan negeri tidak bercakap benar dalam jawapan rasmi pada sidang DUN baru-baru ini apabila menyatakan harga pembelian mendapat pelepasan cukai.

Menurutnya, sedangkan Kementerian Kewangan telah mengesahkan bahawa pembelian tersebut tidak mendapat pelepasan cukai kerana bukan dipasang dalam negara (CKD).

Beliau berkata, malah semalam Kementerian Kewangan memberitahu tidak menerima permohonan daripada kerajaan negeri untuk pelepasan cukai bagi pembelian tersebut.

"Apabila wakil kerajaan menjawab dalam Dewan dan faktanya salah, ia telah menipu Dewan.

"Mengapa disembunyikan fakta sebenar? Kalau betul tak ada pengecualian cukai, beritahu sahaja, mengapa perlu tipu rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Saarani, dalam sidang DUN bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi yang menjawab bagi pihak kerajaan memberitahu harga kereta Toyota Camry tersebut ialah RM190,000 seunit.

Beliau berkata, namun kerajaan negeri membelinya pada harga RM109,00 seunit kerana mendapat pelepasan cukai.

"Namun sebenarnya kerajaan negeri tidak pun menghantar permohonan untuk mendapatkan pelepasan cukai bagi pembelian tersebut.

"Jangan cuba berselindung, kita nak tahu apa yang kerajaan negeri cuba sembunyikan," tegas Saarani. - UTUSAN ONLINE