Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang mendakwa kerjasama di antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘isyarat perang’ terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini.

“Kenyataan dangkal ini amat berbahaya kerana boleh mencetuskan suasana tegang antara kaum dan mampu merangsang perlakuan tidak wajar di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

“Sedangkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagaimana yang ditegaskan oleh kedua-dua kepimpinan tertinggi parti hanyalah menjurus kepada aspek penyatuan ummah yang tidak sesekali meminggirkan mahu pun meremehkan mana-mana agama mahu pun kaum di negara ini,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Tambahnya lagi, kenyataan tersebut menyerlahkan lagi wajah sebenar pemimpin daripada parti DAP yang sememangnya sejak dahulu lagi lebih cenderung kepada sifat rasis dan chauvinis (perkauman).

“Malah kenyataan seperti ini jika tidak dikekang mampu mencetuskan pergolakan antara agama dan kaum sebagaimana pernah berlaku dalam tragedi 13 Mei 1969,” katanya.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung DAP yang menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di bawah panji penyatuan Melayu.

Walau bagaimanapun, beberapa jam selepas itu Malaysiakini memaklumkan Guan Eng telah memperbetulkan kenyataannya itu dan frasa ‘pengisytiharan perang’ diubah kepada ‘menyasarkan’. - UTUSAN ONLINE