Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, sebelum ini Patriot amat lantang bersuara mempertahankan anggota serta bekas tentera.

Menurutnya, namun NGO itu kini membisu ketika ahli perniagaan, Koon Yew Yin menyifatkan anggota tentera tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur.

"Saya kesal kerana NGO seperti Patriot yang selama ini lantang terhadap kebajikan anggota tentera kini berdiam diri.

"Adakah mereka takut atau sudah termakan budi?" katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohd. Zolkafly turut mengingatkan Yew Yin bahawa kesabaran rakyat ada hadnya.

Menurutnya, sehubungan itu beliau meminta tiada pihak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati masyarakat yang lain.

"Apatah lagi kenyataan itu datang daripada seorang yang pernah melahirkan simpati terhadap Chin Peng serta menziarahi ketua pengganas komunis itu," katanya. - UTUSAN ONLINE