Lebih mengelirukan, kedua-dua pihak tetap dengan pendirian masing-masing baik dari Rewcastle-Brown yang menegaskan dakwaan itu adalah benar, manakala Pas pula menafikannya dan meminta untuk mengemukakan bukti kukuh.

Dalam isu ini, jika dilihat dari sisi Pas, ia seolah-olah ber­ada dalam perangkap Rewcastle-Brown, namun berdasarkan hasil risikan beberapa pi­hak lain turut mempercayai Pas berkemungkinan terjerat da­lam perangkap sendiri.

Ini susulan, pengendali blog Sarawak Report semalam memuat naik beberapa gambar salinan dokumen berkaitan termasuk sekeping cek Bank Islam bernilai RM1.4 juta itu sebagai membuktikan transaksi pembayaran untuk menyelesaikan kes saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di luar mahkamah.

Dakwaan itu seakan-akan benar selepas peguam Rewcastle-Brown, Americk Sidhu memberitahu Malaysiakini bahawa cek itu ditulis di depannya dan telah dijelaskan ke akaun editor Sarawak Report, namun beliau bagaimanapun enggan mendedahkan peme­gang akaun penulis cek itu.

Yang turut senada dengan dakwaan ini ialah Naib Presi­den PKR, Rafizi Ramli selepas hasil penyiasatannya mendapati akaun bank yang dinamakan itu benar-benar wujud dan bukannya palsu seperti didakwa sesetengah pihak selepas melakukan pemindahan wang sebanyak RM10.

Di pihak Pas dan penyokong parti itu pula menegaskan akaun bank yang digunakan untuk melakukan transaksi didakwa adalah palsu dan semua kepemimpinan parti menggesa pihak yang mendedahkan isu tersebut mengemukakan bukti kukuh agar tidak mengelirukan banyak pihak.

Kedua-dua pihak nampak sa­ling bertegas bahawa kebenaran di pihak masing-masing. Bagi pemerhati pula, masih berlegar persoalan siapa yang benar?

Dalam isu ini, Pas dilihat seolah-olah sedang ditarik ma­suk ke dalam ‘jerat’ apabila satu demi satu jawapan yang diberikan kepada dakwaan terhadap parti itu membawa kepada le­bih banyak pendedahan.

Namun persoalannya sama ada pendedahan tersebut adalah benar atau sengaja direka? Sama-sama kita nantikan.