Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mana-mana individu yang dijangka akan dianiaya dan tidak diadili secara adil di negara asal wajar dilindungi.

“Itu selaras piagam Geneva yang wajib dipatuhi semua negara dunia iaitu mana-mana orang yang dijangka dianiaya di negaranya perlu dilindungi.

“Dan ia juga selaras ajaran Islam yang jelas menunjukkan Islam juga mendahului piagam Geneva,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, pihaknya telah menasihatkan Zakir supaya berhati-hati dalam isu politik negara kerana beliau seorang pendakwah.

“Sehingga hari ini kita pisahkan antara kerja dakwah dengan kerja politik yang kita tumpukan, cuma kita kena sedar isu beliau sudah dipolitikkan DAP, bukan beliau yang mempolitikkannya, politik biar kita yang jawab bukan Zakir,” katanya.

Perdana Menteri pada minggu lalu menegaskan bahawa beliau tetap dengan pendiriannya bahawa Zakir tidak akan dihantar pulang ke India. - UTUSAN ONLINE

Habis.