Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, ia perlu memandangkan isu undang-undang Islam khususnya hudud merupakan antara agenda perjuangan utama parti itu sekiranya berjaya memerintah negeri ini.

Malah katanya, sebelum PRU-14, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang hudud akan tetap dilaksanakan sekiranya parti itu berjaya memerintah negeri ini.

“Sekarang sudah hampir setahun Pas memerintah Terengganu dan hudud telah diwartakan pada tahun 2013 lagi. Jadi silakan, apa ditunggu lagi. Tunaikan janji itu, kita nak tengok. Tak ada alasan lagi sebab Pas telah pun berjaya memerintah negeri ini, tetapi kenapa masih senyap dan berdiam diri.

“Namun kita tidak mahu berprasangka buruk, kita anggap mungkin Pas sekarang sedang meneliti kaedah dan cara bagaimana untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini, cuma jangan pula dikaitkan dengan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355),” katanya.

Razali berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pertandingan sukan elektronik, Terengganu E-Sports Challenge peringkat negeri di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd. Soufi Mohd. Ibrahim dan pertandingan itu disertai seramai 124 peserta. - UTUSAN ONLINE