Ahmad Fakhruddin
AHMAD FAKHRUDDIN

Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, pihaknya bersedia untuk berada dalam apa saja posisi sama ada menjadi pembangkang atau kerajaan di negeri ini bergantung kepada arahan Pusat. 

"Kalau kami menjadi pembangkang, kami akan menjadi pembangkang yang kuat dan jika mahu membentuk kerajaan pula, apa yang paling mustahak adalah membentuk kerajaan yang stabil dari segi politik. 

"Tindakan itu bagi memastikan jangka hayat kerajaan yang dibentuk stabil kerana jika tidak, jangka hayat kerajaan dibentuk itu nanti mungkin tidak akan berpanjangan. Apa pun segala keputusan terletak pada kepeimpinan Pas Pusat," katanya. 

Beliau berkata demikian sidang akhbar yang diadakan kira-kira pukul 3 pagi tadi di Kompleks Pas Kedah, di sini. 

Sementara itu katanya, beliau percaya sebarang tindakan yang diambil oleh kepemimpinan Pas pusat pastinya akan bersandarkan kepada kepentingan rakyat. 

"Seperti mana diungkapkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, Pas hanya akan bersama dengan gabungan yang boleh menerima tawaran kami. Mengenai dakwaan mengatakan Pas jadi 'king maker' di Kedah, mungkin boleh jadi begitu," katanya. 

Ditanya berhubung kejayaan Pas merampas lebih banyak kerusi di sebalik ramalan pihak tertentu mengatakan mereka akan tewas teruk, Fakhrurazi berkata keadaan itu berlaku kerana golongan berkenaan cuba bermain politik persepsi.

"Namun kami tidak langsung menjadikan 'kajian' mereka itu sebagai ukuran kita. Ukuran kekuatan Pas hanya ada pada kami sendiri dengan kami tidak bergantung kepada kajian pihak luar," ujarnya. - UTUSAN ONLINE