Ketua Bahagiannya, Datuk Aliff Tafid berkata, penerimaan kerjasama itu berdasarkan kepada matlamat parti dalam usaha memastikan Bangsa Malaysia daripada terus kehilangan sifat jati perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk yang kini hampir musnah.

Beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila pihak yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal perpaduan negara dilihat tidak mengambil endah mengenai hal perpaduan tersebut.

"Ikatan Bandar Tun Razak bersedia memberi kerjasama kepada Pas, Berjasa dan UMNO demi mengukuhkan tiang perpaduan Ummah di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

"Kami turut menyokong segala bentuk piagam baharu yang dibentuk oleh pucuk pimpinan Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional,' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan penerimaan kerjasama politik penyatuan ummah antara Pas dan UMNO dan memaklumkan kerjasama politik itu dijalankan di atas kerangka taawun siyasi.

Mengulas lanjut, Aliff berkata, Ikatan Bandar Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Presiden parti, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kerana bersetuju mengukuhkan kerjasama politik tersebut demi memenuhi matlamat parti bagi menyelamatkan negara dan menyelesaikan masalah rakyat.

Selain itu kata beliau, Ikatan Bandar Tun Razak akan terus berusaha menarik golongan muda dan golongan atas pagar untuk memastikan perjuangan parti dan perpaduan ummah terus tercapai. - UTUSAN ONLINE